Habuan Seks, Duit, Politik, SPRM dan Kerajaan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 individu di seluruh negara kerana disyaki menawar dan menerima rasuah RM280,000 serta habuan seks bagi menjalankan aktiviti penyeludupan dan curi pasir ke negara jiran.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul berkata, individu berkenaan ditahan sejak dua hari lalu atas kesalahan menjalankan kegiatan mencuri dan menyeludup pasir di seluruh negara.

“Tangkapan dibuat berdasarkan laporan dan siasatan ke atas 410 maklumat yang diterima antara April tahun lalu sehingga sekarang sebelum tangkapan dilakukan dua hari lalu.

“Mereka yang ditahan ialah 24 kakitangan awam yang memegang jawatan ketua jabatan, ketua bahagian dan pegawai kanan, lima orang awam, tiga kakitangan pihak swasta, seorang setiausaha sulit kepada ahli politik dan seorang pegawai khas ahli politik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Mohd Shukri berkata, dalam kes itu, SPRM mengesan tiga kes membabitkan rasuah seks dan tawaran RM280,000 kepada semua 34 orang itu secara individu.

“Ada di antara mereka menerima habuan seks dan bayaran antara RM500 dan RM50,000 sebulan untuk mempercepatkan proses permohonan pasir serta tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang mengeluarkan pasir tanpa permit.

“Semua kesalahan ini dikesan di lima negeri. Pasir yang diseludupkan ke negara jiran itu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil Kerajaan Negeri,” katanya.

Ditanya negeri dan jabatan yang terlibat, Mohd Shukri berkata setakat ini, beliau tidak boleh mendedahkannya kerana operasi dan siasatan masih berjalan.

Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam yang ditangkap merupakan pegawai kanan atau ketua jabatan, pegawai sokongan dan profesional.

Mohd Shukri berkata, SPRM akan membuat lebih banyak tangkapan dalam masa terdekat berhubung kegiatan berkenaan dan menasihatkan orang ramai, khususnya masyarakat setempat, supaya memberi kerjasama kepada Suruhanjaya itu.

“Kita menjalankan tugas kerana amanah dan bukannya mempunyai kepentingan atau agenda tersembunyi. Jadi pemimpin dan masyarakat perlulah menyedarinya,” katanya.

Mengulas tangkapan yang dibuat di sebuah negeri petang tadi berhubung kes itu, Mohd Shukri berkata ada cubaan menghalang individu tersebut untuk dibawa ke ibu pejabat SPRM.

Namun, katanya, individu tersebut berjaya dibawa ke SPRM untuk diambil kenyataannya selepas perbincangan dengan peguam individu tersebut kira-kira dua jam.

apa nak jadi dengan orang kita ni…ish2…orang atasan pula tu..bukan jawatan cikai2..pegawai dan setiusaha tu…
apa komen anda?

via SinarHarian

Popularity: 5%

Post a Response